Pages

Serimuka

Kuih tradisional yang berasaskan pulut sangat lazat dengan rasa lemak manis kastad di atasnya. 






Kebanyakan kuih muih di Malaysia ni memang manis dan berlemak terutamanya kuih tradisi melayu, oleh kerana kita di Asia ini sangat mudah mendapatkan kelapa jadi kuih yang berlemak dengan penggunaan santan kelapa selalu menjadi pilihan orang dulu-dulu barangkali. berbanding resepi orang putih yang menambahkan lemak dalam makanan mereka menggunakan susu, cream ataupun cheese. Bagi mereka penggemar manisan berlemak tak kisah samada manis susu ataupun santan pasti akan tetap dimakan dengan penuh berselera. Bagi tekak orang tua pula, dah terbiasa dengan lemak santan pasti akan lebih memilih kuih melayu. 



Serimuka memang menjadi pilihan sebagai pemanis mulut tak kira bangsa di malaysia ni. Tetapi bagi saya, setiap kali kedatangan bulan ramadhan, saya pasti akan buat kuih ni. Saya paling suka buat sendiri sebab setiap kali membuatnya pasti akan mengingatkan saya pada arwah abah. Arwah abah saya dulu kalau nak makan kuih serimuka pasti dia akan minta mak buatkan kastadnya lembik sedikit. Dia paling tak tahan kalau masa potong kuih tu, kastadnya akan meleleh. Itu yang paling dia nanti-nantikan, sebab tu kalau mak buat memang tak sempat sejuk betul dah kena potong. Hahaha.... tapi bagi peniaga kuih muih mereka akan pastikan kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong untuk mendapatkan potongan yang cantik dan licin.  Kalau tidak memang tak lakulah jawabnya.


Bercakap tentang kastad untuk kepala kuih serimuka ni, ada banyak cara orang sediakannya. Kalau saya memang akan menyediakan menggunakan santan untuk mendapatkan kastad yang lemak. Ada juga yang menyediakan hanya dengan menggunakan tepung kastad, Hasilnya kepala kuih serimuka  akan kelihatan licin berkilat. Rasanya kurang berlemak dan ianya tahan lebih lama kerana tiada penggunaan santan. Kalau belah Kelantan pula mereka akan sediakannya dengan menggunakan telur. Jadi kepala kuih ini akan kelihatan bersarang seperti buih telur. Walauapa pun cara penyediaan kastad untuk kepala kuih ini, namanya tetap kuih serimuka...... tetap lazat dan menjadi pilihan. Sesuai untuk menjadi penyeri semua jenis majlis.... bak namanya... SERIMUKA....


Resepi

SERIMUKA

Bahan-bahannya-

2 cawan beras pulut
2 cawan santan
sedikit garam
Daun pandan


  1. Rendam beras pulut 2-3 jam
  2. Basuh bersih dan masukkan santan , sedikit garam dan daun pandan
  3. Kukus sehingga pulut masak
  4. Tekan dan ratakan pulut didalam loyang agar padat. Ketepikan.



Alas loyang dengan plastik, utk memudahkan semasa nak memotong nnt.

kukus pulut bersama santan dan letakkan daun pandan

kukus sehingga pulut masak

Bahan-bahan untuk lapisan kastad

2 cwn santan
1/2 cwn air tapisan
1 tsp pandan paste
sedikt pewarna hijau
1/2 cwn gula pasir
1/2 cawan tepung gandum
2 tbsp tepung pulut
1 biji telur
sedikit garam

Cara-caranya:-


  1. Sebatikan semua bahan di atas. 
  2. Kacau sempurna sehingga tidak berbintil
  3. Panaskan seketika di atas api
  4. Tuang adunan ini ke dalam loyang pulut yang telah ditekan dan diratakan
  5. Kukus semula sehingga masak lebih kurang 30-40 minit
  6. Tunggu sehingga sejuk baru dipotong dan dihidangkan.

kastad yang siap untuk dituang untuk dikukus

pulut yang sudah dikukus

kastad dituang diatas pulut yang telah dipadatkan

Kukus lagi sehingga masak.

setelah dipotong,, beginilah hasilnya.
Note: Kalau nak lapisan kastad yang agak keras sedikit boleh tambah lagi 1/4 cawan tepung gandum


No comments:

Post a Comment