Pages

Bingka ubi kayu



Bingka ubi kayu adalah satu jenis kuih tradisonal yang sangat mudah dan sangat sedap. Kuih ini hanya memerlukan bahan yang sangat sedikit dan mudah je pun, bahan asas yang utama hanyalah parutan ubi kayu, santan dan gula merah. Atau boleh juga menggunakan gula pasir dengan sedikit pewarna kuning. 

Ini adalah kuih kegemaran saya dan banyak kenangan dengan kuih ini. Alkisah arwah datuk saya sangat rajin dan suka buat kuih ni. Di kampung segalanya ditanam sendiri sahaja. Saya pernah membantu mengorek ubi dan menyagat ubi ni. Sekarang ada yang suka blend sahaja tapi jangan hairan jikalau rasanya tidak sama. Pada saya jika diparut ubinya akan menghasilkan tekstur kuih yang lebih sedap dan lebih terasa.  

Jadi adalah lebih elok jika kita rajinkan diri sikit menyagat ubi walaupun agak sukar dan memakan masa tapi percayalah anda akan suka akan hasilnya. Satu lagi tips dari arwah atuk saya, ubi yang telah disagat jika boleh perah buang airnya kerana air ubi itu akan membuatkan bingka kita akan rasa sedikit kelat dan pahit.


Resepi Bingka Ubi Kayu


Bahan-bahannya

4 cawan ubi kayu yang telah diparut
2 cawan santan pekat
1 cawan gula merah
1/4 cawan gula putih
sedikit garam
sedikit mentega

Cara-caranya

1. Sagat ubi kayu dan perah buang airnya.

2. Campurkan gula merah ke dalam santan, hancurkan dan tapis,

3. Satukan santan, ubi kayu, gula pasir, sedikit garam. Kacau sebati

4. Lengserkan mentega diloyang, tuang adunan ke dalam loyang

5. Sudukan sedikit mentega di permukaan adunan.

6. Bakar dalam oven dengan suhu 200 degree selama 40 minit.


Selamat mencuba.




 

No comments:

Post a Comment